Assalamualaikum semua.... Lama tak buat catatan dalam blog ni, akhirnya terbuka balik pintu hati nak menulis . heheheh.... Kisah aku dan suami ni terlalu indah untuk dikenang kembali... Namun inilah istimewanya perjalanan hidup ini.....:) (Untuk makluman, catatan ini pernah keluar dalam Majalah Mingguan Wanita namun telah diedit. Nanti aku post yang catatan aku keluar Majalah Mingguan Wanita tu ye)
Aku
merupakan salah seorang penggemar Majalah Mingguan Wanita ekoran minatku yang
sangat mendalam terhadap bahan bacaan ilmiah, jadi tidak salah rasanya kalau
majalah ini merupakan majalah no. 1 pilihanku. Di sini aku ingin berkongsi
dengan pembaca lain tentang kisah cintaku bersama suami yang sangat aku
cintai. Perkenalanku dan suami juga
bermula daripada sebuah majalah yang sangat popular semasa alam persekolahanku
iaitu Majalah Dewan Siswa.
Aku dulu
sangat gemar melanggan majalah tersebut dan aku sering berkongsi membacanya
bersama kawan-kawan semasa di zaman persekolahan dahulu sehinggalah ada seorang
kawanku yang mengajak aku menghantar gambar di dalam majalah tersebut. Dialah yang terlalu beria-ia menyuruhku hantar gambar. Aku lupa
tentang ruangan itu tapi pada perkiraanku, ruangannya lebih kepada mencari
teman pena. Setelah menghantar gambar berukuran pasport, akhirnya pada bulan
Februari 2001, gambarku telah keluar di majalah dan menjadi heboh di sekolahku.
Tetapi malangnya gambar kawan kelasku tidak pula keluar di dalam majalah tersebut.
Ekoran
daripada itu, aku sering menerima surat-surat perkenalan daripada teman-teman seluruh
Malaysia yang ingin menjadi sahabatku malah ada juga dari Brunei dan Singapura.
Daripada beribu orang yang ingin mengenaliku, suamiku juga merupakan salah
seorang daripadanya. Ibuku pernah berkata, surat-surat yang aku terima hampir setiap
hari, mengalahkan artis. Mana tidaknya, setiap hari posmen ke rumahku dan peti
surat di rumahkan sampai sesak dengan surat-surat sehingga ada yang bertaburan
dalam longkang. Memandangkan tahun 2001 merupakan tahun untuk aku menempuhi
alam peperiksaan SPM, aku tidak leka dengan surat-surat yang dikirim oleh teman
penaku, malah aku sering bertukar-tukar soalan percubaan SPM dengan kawan-kawan
seluruh negeri di Malaysia ini, termasuk suamiku.
Aku
mempunyai banyak teman pena sehinggalah aku menempuhi alam IPTA dan juga alam
pekerjaan, masih ada yang menjadi sahabat penaku tapi mungkin tidak sehebat
masa aku di alam persekolahan dulu. Salah seorang yang masih setia adalah
suamiku. 6 tahun menjadi sahabat pena, tetapi tidak pernah sekalipun kami
bersua muka sehingga akhirnya aku telah bertunang dengan seorang lelaki (campuran
cina dan melayu). Bekas tunangku merupakan kenalan yang kukenal melalui
telefon. Dia mendapat nomborku kerana mencuri pandang dalam telefon bimbit
rakannya yang juga merupakan sahabat penaku. Perkenalan selama 3 tahun telah
mengikat kami dalam satu majlis pertunangan. Pertunangan itu hanya bertahan selama
hampir 2 tahun kerana kecurangan bekas tunangku. Aku akhirnya mengambil
keputusan memutuskan pertunangan itu. Aku minta abahku menghubungi keluarganya dan
memutuskan pertunangan itu. Berkali-kali juga abah tanya tentang keputusanku
tetapi aku memang nekad setelah mendapat petunjuk daripada Allah SWT melalui
gerak hati. Hampir setiap hari aku melakukan solat sunat istikharah memohon Allah
jauhkan hatiku daripada hatinya andai dia bukan jodohku dan begitu sebaliknya.
Jodoh itu memang telah ditentukan oleh Allah SWT dan hatiku semakin jauh
daripadanya. Walaupun tersangat sedih dengan apa yang berlaku, namun aku redha.
Semoga bekas tunangku berbahagia bersama teman barunya.
Aku dan
suami masih berutus surat dan kekadang kami berhubung menggunakan telefon. Kami
selalu juga berbalas-balas khidmat pesanan ringkas tapi tidaklah sekerap
pasangan yang bercinta. Sekadar kawan. Memang benar, 6 tahun perkenalan,
akhirnya baru aku membuat keputusan untuk berjumpa dengannya buat pertama kali
di Restoran McDonalds, Puduraya, Kuala Lumpur. “Blind Date” itu, aku ditemani oleh dua orang sahabat serumahku
semasa aku bekerja di Putrajaya dulu. Sikap tenang, pendiam dan penyabar suamiku
telah membuatkan aku jatuh cinta padanya.
Perhubungan ini tidak mengambil masa yang lama. Terlalu singkat. Keluarganya
datang merisikku selepas beberapa bulan aku berjumpa keluarganya. Selepas 2
bulan majlis merisik tersebut, kami bertunang dan terus bernikah. Selepas 3
bulan, barulah majlis persandingan diadakan. Yang uniknya, majlis persandingan kami
diadakan sama dengan tarikh Pilihanraya Umum iaitu 8 Mac 2008. Kini usia
perkahwinanku dan suami telah mencecah 3 tahun cuma rezeki kami agak lambat menimang zuriat namun akhirnya Allah memakbulkan
jua doaku dan suami.
Ni masa memula jumpa di KL. Jatuh cinta pandang pertama. heheh...tapi dah lama jugak kenal..6 tahun tak pernah bersua muka.Tulis surat aje sebelum ni...
Buat suamiku
Abd Aziz Marsyidi Bin Haji Zainuddin, anje sangat mencintai sayang. Abang tiada
duanya di dunia ini. Terima kasih kerana telah hadir di saat anje sangat memerlukan
seseorang untuk memberi ketenangan di dalam hidup anje. Semoga mahligai indah
yang kita bina bersama, akan kekal sehingga ke akhir hayat. Semoga sayang tidak
lupa dengan villa kita Dira Salju kerana di dalamnya ada Erni Safura dan Durr Awatif.
Kami sekeluarga masa family day di Melaka.