Rabu, 25 April 2012

ALHAMDULILLAH

Kita selalu mengeluh bila apa yang kita hajati, tidak Allah tunaikan. Mulalah kita merepek-repek mengatakan bahawa Allah sudah tidak sayangkan kita, Allah tidak adil dan sebagainya. Tetapi, kita terlupa atau mungkin tidak pernah mengucapkan 'Alhamdulillah' dengan apa yang telah Allah kurniakan kepada kita.

Hari ini, muhasabahlah diri kita sendiri. Bersyukurlah kepada Allah dengan apa sahaja yang telah Allah kurniakan kepada kita. Terkadang apa yang kita mahu tidak semestinya terbaik buat kita. Allah lebih mengetahui sedangkan kita tidak mengetahui.

Kita menangis kerana tidak berkasut tapi sedarkah kita yang di luar sana masih ramai yang tidak berkaki. Kita marah kerana hari ni mata kita kabur tapi sedarkah kita di luar sana masih ramai yang teraba-raba dalam kegelapan mencari jalan menuju kehadapan. Kita tidak mahu makan kerana makanan tidak sedap dan tidak menepati citarasa kita tapi sedarkah kita di luar sana masih ramai insan yang mengharapkan sesuap nasi bagi mengalas perut? Kita mengharapkan Allah mengurniakan kita cahaya mata yang comel tapi sedarkah kita di luar sana masih ramai yang berusaha untuk mendapatkan seorang zuriat? Kita menyesal dikurniakan pasangan hidup yang begitu dan begini tapi sedarkah kita di luar sana masih ramai yang sedang mencari-cari pasangan hidup dan ada yang sehingga mati pun tidak bertemu jodoh.

Hari ini juga kita merasakan kitalah insan malang di dunia...Apa yang orang lain ada, tidak dimiliki oleh kita...Kita sedih dan sangat kecewa lalu mengharapkan apa yang dimiliki oleh orang lain turut dimiliki oleh kita tapi kita tidak sedar terkadang apa yang kita miliki lebih bernilai daripada apa yang orang lain miliki. Jangan terlalu memandang hak milik orang lain sehingga timbul rasa cemburu yang melampau sampai kita terlupa untuk mensyukuri apa yang kita ada di depan mata.

Wahai kawan, ucapkanlah "Alhamdulillah" untuk apa yang kita miliki hari ini. Sesungguhnya setiap insan ada bahagiannya masing-masing. Rahsia Allah terlalu indah untuk diterokai. Bersyukurlah dengan ucapan "Alhamdulillah" kerana bersyukur itu merupakan satu nikmat yang tak terungkap dek kata-kata...:)


2 ulasan:

  1. Allah kadang2 bagi apa yang kita perlukan... bukan apa yg kita mahukan...

    Barakkallah dik...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih akak....Benar kerana Allah Maha Mengetahui Segalanya....

      Padam

Terima kasih atas komen anda semua...:)